Sunday 8 September 2013

Kaedah dan Teori Bacaan Awal Kanak-kanak


Teks:  Monalita Mansor


gambar hiasan kredit : kaklongnuzula.blogspot.com
1.0.      PENGENALAN
Rasullullah SAW pernah bersabda seperti yang dirawikan oleh Imam Bukhari dan Muslim. ‘tidak ada seorang anak yang dilahirkan melainkan di dalam keadaan fitrah (suci bersih) maka ibu bapanya yang menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi.  Sebaris pepatah Cina juga mengungkapkan perumpaan yang sama tentang kepentingan mencorak pembelajaran kanak-kanak pada peringkat awal seperti ‘hidup kanak-kanak ibarat sehelai kertas di mana setiap orang akan meninggalkan tanda di atasnya’.

Jelas, membuktikan betapa tidak berdayanya kanak-kanak tanpa bantuan orang dewasa seperti  yang didefinisikan berumur antara 1 hari sehingga 8 tahun oleh Kostelnik dan rakan-rakan (1993)  dalam Nor Hashimah Hashim dan Yahya Che Lah (2003).

Sehubungan dengan itu perkembangan awal kanak-kanak perlu dititikberatkan kerana menurut kajian pakar 90% pencerapan otak secara optimum berlaku sebelum kanak-kanak mencapai umur lima tahun.  Dalam merealisasikan keberhasilan pendidikan awal kanak-kanak seperti  yang termaktub  di dalam Kurikulum Sepadu Pra Sekolah melalui model ABP (Amalan Bersesuaian dengan Perkembangan Kanak-kanak) bahan bacaan awal perlulah sesuai dan membawa kepada solusi berikut:-

1.1       Perkembangan diri kanak-kanak secara tuntas dengan fokus lebih terarah untuk membugarkan potensi kanak-kanak dari segi rohani, jasmani dan intelek.

1.2       Pembelajaran yang menggembirakan dengan kepelbagaian teknik pengajaran dan pembelajaran yang menarik minat mereka serta suasana pembelajaran yang boleh menarik minat mereka.

1.3       Pengalaman pembelajaran yang bermakna dengan keterlibatan kanak-kanak secara menyeluruh  dengan rasa seronok dan seterusnya memberi kesan positif terhadap potensi pembelajaran mereka.

1.4       Pendidikan sepanjang hayat yang memastikan kanak-kanak konsisten untuk terus mencari ilmu setelah didedahkan dengan konsep pembelajaran yang menyeronokkan. 


1.5       Definisi

Molina S Nijhar (1979) menyatakan bahawa buku-buku yan ditulis dengan persembahan yang menarik, fakta yang tepat dan sesuai, bahasa yang mudah dan dalam lingkungan pemahaman peningkatan umur kanak-kanak. 

Bacaan awal kanak-kanak haruslah juga bersesuaian dengan peringkat perkembangan umur kanak-kanak seperti yang ditegaskan oleh Jean Piaget di dalam teori perkembangan kognitif Piaget.  Bahan bacaan untuk kanak-kanak pada peringkat pra operasi tahap dua (5-7 tahun) dengan peringkat operasi konkrit (7-9 tahun) adalah berbeza. 

Pada peringkat pra operasi tahap dua  ini, kanak-kanak mulai menggunakan perasaan dan pengamatan untuk memahami persekitaran.  Penggunaan bahasa mereka juga semakin berkembang dan sikap egosentriknya semakin berkurangan.    Bagaimanapun, lumrah diri mereka sebagai kanak-kanak masih belum berkurangan, mereka masih suka berfantasi tetapi sedikit demi sedikit menerima keberadaan realiti yang menyerap masuk ke dalam minda. 

Salleh Daud dan Izzah Abd Aziz (1979), kanak-kanak suka membaca dan mendengar tentang kanak-kanak lain tentang masalah mereka.  Ini menjelaskan lagi keterangan di atas bahawa kanak-kanak sudah mulai mengambil tahu mengenai persekitaran dan sudah mula berkeinginan untuk bersosial seperti berkawan, bermain di dalam kumpulan dan bersekolah.  Brown dan Tomlinson (1999) menegaskan bahawa buku bergambar tetap menjadi pilihan kanak-kanak berusia 4 – 7 tahun.  Buku-buku tersebut akan menjadi buku tetapnya yang akan dibeleknya berulang-ulang sambil ‘membaca dan menghafal’ gambar secara bersendirian. 

Begitupun bahan bacaan awal adalah perkara maujud yang memerlukan pendekatan, teknik, dan kaedah yang bersesuaian untuk direalisasikan oleh para guru.  Tanpa kaedah dan teknik yang betul, objektif untuk melahirkan masyarakat berilmu melalui pembacaan akan tinggal impian.  Staiager dan O. Anderson 1968 menekankan peri pentingnya membaca sebagai:

Reading is a key to communication and contributes to the solution of world problems of poverty and animosty.  Reading is the key to continuining education, employment and enjoyment.


2.0.      OBJEKTIF

Kajian ini dibuat untuk membincangkan ciri-ciri buku bacaan awal kanak-kanak yang ada di pasaran sama ada ia bersesuaian dengan beberapa teori, model, pendekatan, kaedah serta teknik yang digunakan di sekolah.  Sub topik perbincangan pula adalah berakar daripada kata kunci teori dan model yang paling popular digunakan di Malaysia yang sebenarnya menjadi sebahagian daripada KSPK (Kurikulum Sepadu Pra Sekolah Kebangsaan).

Kajian juga menjurus untuk memperincikan kaedah dan teknik yang paling berkesan dalam buku-buku bacaan awal untuk memenuhi keperluan pembelajaran awal kanak-kanak.  Pelajar sedaya-upaya menggali kaedah yang terpakai di pra-sekolah ataupun tabika dan keberkesanannya di antara satu sama lain dengan merujuk kepada beberapa dapatan kajian lain yang diperakukan.

Diharapkan kajian ini sedikit sebanyak mampu menjadi kayu ukur atau bench-mark untuk para penulis buku atau penerbit untuk mengenalpasti inti pati pengajaran dan pembelajaran yang harus diterapkan di dalam sesebuah buku bacaan awal yang bersesuaian untuk kanak-kanak.

Akhirnya,  diharapkan kemampuan membaca dari peringkat awal ini dapat membantu kanak-kanak menjadi matang dengan lebih cepat dan mampu menyerlah sebagai sebahagian bangsa yang maju dengan ilmu pengetahuan.


3.0       KAEDAH

Kaedah kajian dilakukan dengan mengambil beberapa sampel buku-buku bacaan awal kanak-kanak yang diperolehi daripada perpustakaan dan juga kelas pra-sekolah.   Kajian juga dibuat dengan bantuan carian internet.  Temuramah secara rambang juga dilakukan dengan dua orang responden iaitu guru pra sekolah  Puan Rizana Abdullah melalui laman sosial facebook dan seorang kanak-kanak pra sekolah, Irfan Naufal bin Suhaidi mengenai buku yang paling menarik minatnya. 


4.0       RANAH KAJIAN

Kajian yang dilakukan mencakupi perbincangan mengenai teori, model, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan di sekolah berasaskan sampel yang dikumpulkan.   Kajian akan ditumpukan pada kanak-kanak di dalam peringkat pra operasi berasaskan teori perkembangan kognitif Piaget mencakupi umur 5 – 7 tahun. 


4.1       Model

Model yang digunakan untuk kajian ini adalah Model Ibn Khaldun.  Nama sebenar beliau ialah Wali-al Din Abd Al Rahmah bin Muhamad bin Abu Bakar Muhamad bin al-Hasan.  Beliau dilahirkan di Tunis pada 1 Ramadhan 732 dan terkenal sebagai tokoh pemikir dalam pelbagai bidang termasuklah bidang pendidikan awal kanak-kanak yang digarapnya dalam kitab bertajuk Muqqadimah.

Ibn Khaldun menegaskan jiwa kanak-kanak sangat lembut dan harus didekati dengan cara yang lembut juga.  Beliau tidak bersetuju dengan kaedah mendengar dan menyebut yang menjadikan kanak-kanak menjadi jemu dan hilang fokus semasa belajar.    Guru-guru mesti bersikap penyayang dan sentiasa memerhatikan perkembangan minda kanak-kanak. 

Perkembangan minda mereka boleh dibentuk dengan memastikan mereka memahami proses pembelajaran dan bukan sekadar menghafal.  Ibnu Khaldun juga menegaskan untuk meneguhkan proses pemahaman kanak-kanak terhadap sesuatu bahan, mereka perlukan bantuan semua panca indera dan proses itu harus dilakukan secara berulang-ulang.   Ibnu Khaldun juga mengungkapkan bahawa kanak-kanak akan mudah keliru dan harus diajar hanya satu perkara pada satu-satu masa untuk mengukuhkan kefahaman mereka. 

Model Montessori juga antara model yang digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran di peringkat awal perkembangan kanak-kanak.  Model ini diasaskan oleh Maria Montessori (1870 – 1952) di Rome.  Beliau mengasaskan sebuah sekolah untuk kanak-kanak terencat akal dan mempraktiskan pandangan berikut yang dikesaninya mampu menambah baik kemampuan pelajar-pelajarnya.  Beliau akhirnya mengaplikasikan kepada pelajar-pelajar normal dan ternyata model itu berjaya.

a)      Kanak-kanak adalah span minda.  Mereka adalah individu yang akan menyerap apa sahaja maklumat yang diperolehi dan disimpan di dalam memori

b)      Kanak-kanak melalui peringkat umur yang sensitif.  Teori Erikson dalam Russel 1997 mengungkapkan kanak-kanak melalui fasa inisiatif lawan rasa bersalah.  Pada peringkat ini, kanak-kanak mempunya rasa ingin tahu dan ambil tahu yang sangat tinggi dan ingin melalukan sesuatu dengan cara mereka sendiri tetapi merasa bersalah jika dia melakukan kesilapan. 

c)      Rasa ingin belajar yang meluap-luap dan adakalanya tidak difahami oleh orang dewasa

d)     Ingin belajar sambil bermain.  Froebel (1782 – 1852) mewujudkan tadika di Jerman untuk kanak-kanak berumur 4-5 tahun dengan konsep bermain sambil belajar.  Beliau mempercayai proses pembelajaran yang paling berkesan adalah aktiviti yang menggembirakan.  Salah satu aktiviti yang menggembirakan ialah bermain yang secara tidak langsung meningkatkan kemahiran kanak-kanak.

e)      Kanak-kanak melalui pelbagai peringkat perkembangan -  peringkat perkembangan kanak-kanak yang berbeza diasingkan menurut umur walaupun sebenarnya potensi kanak-kanak adalah berbeza walaupun berada di dalam kategori umur yang sama.

f)       Akhirnya, kanak-kanak ingin mempunyai kemahiran mengurus diri iaitu berdikari.  Kanak-kanak dianggap berdikari sekiranya sudah boleh mengikat tali kasut sendiri, memakai baju dan seluar.


4.2       Teori Ibn Khaldun

Ibn Khaldun menggariskan beberapa teori yang dikenalpasti dapat merangsang pemikiran mereka semasa proses belajar iaitu;

a)      Kanak-kanak tidak harus didedahkan dengan sesuatu proses pelajaran yang sukar

b)      Kanak-kanak haruslah diajar secara berperingkat—peringkat iaitu daripada yang mudah kepada yang susah.  Diikuti dengan latih tubi dan juga bantuan bahan-bahan maujud (alat bantu) yang bersesuaian.

c)      Kanak-kanak mesti diajar beracukan kesesuaian minda mereka.  Ini penting kerana sekiranya mereka ketinggalan dalam proses tersebut, akan timbul perasaan malas, benci dan akhirnya hilang fokus dan minat untuk belajar.

Ibnu Khaldun menekankan kaedah menggunakan Al Quran sebagai panduan asas yang berupaya mengukuhkan akidah dan iman serta dapat merangka malakah (bakat atau tabiat) manusia sejak awal secara lembut dan berhemah. 

Kekerasan itu boleh menjadikan mereka malas dan mendorong mereka berbohong serta kelicikan.  Yakni tindak-tanduk mereka adalah berbeza dengan apa yang difikirkan, sebabnya ialah mereka merasa takut didera sekiranya mereka menyatakan sesuatu yang benar (Ibn Khaldun, 1993 : 776)

4.3       Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget

Jean Piaget membahagikan proses perkembangan kognitif kanak-kanak terbahagi kepada empat bahagian iaitu;

a) sensorimotor            (lahir    -   2 tahun)
b) pra-operasi              (2 – 7 tahun)
c)operasi konkrit         (7 – 11 tahun)
d) operasi formal         (11 tahun ke atas)
Proses-proses kognitif ini merangkumi skema asimilasi, akomodasi, penyusunan semula dan keseimbangan.

4.4       Teori Sosio Emosi Erikson

Teori yang ditumpukan di dalam kajian ini adalah teori fasa keempat iaitu pada peringkat umur kanak-kanak pra operasi menurut teori Jean Piaget iaitu daya usaha lawan rendah diri.   Menerusi teori ini, Erikson berpendapat kanak-kanak akan berisiko untuk merasa rendah diri apabila gagal.  Kerana itu, mereka akan berusaha sedaya upaya bersaing dengan kanak-kanak lain. 

4.5       KES 1

Bahan Bacaan: Buku Iqra’
Model              : Model Ibn Khaldun
Teori                : Teori Ibn Khaldun
                        : Teori Piaget (paras 2 – peringkat pra operasi)
Kaedah            : Kaedah Bunyi Gabungan Kata
Teknik             : Baca Kuat
                        : Membaca Berpasangan
                        : Membaca Bergilir-gilir

Kaedah ini dipraktiskan oleh Puan Siti Zaleha, pengasas Taski Kampung Pasir.  Menurutnya beliau memastikan setiap kanak-kanak yang datang seawal 7 pagi akan duduk membentuk bulatan dan terus membaca iqra’.  Selain itu, beliau memastikan pada setiap hari Khamis akan diadakan aktiviti mengambil wuduk dan solat bersama-sama.  Setiap pelajar juga perlu menghafal bacaan solat. 
Bahan bacaan awal yang digunakan oleh taski tersebut adalah buku iqra’.  

Buku yang disusun pada tahun 1988 dengan memanjangkan kaedah Baghdadiyah  yang dipakai secara meluas di Indonesia sebagai usaha membanteras buta huruf al Quran di negara tersebut.
Selain daripada kaedah latih tubi, ia mengembangkan teori dan model Ibnu Khaldun dengan memulakan pengajaran daripada yang sukar kepada yang susah.  Sebagai contoh,  dalam pelajaran Iqra 1 kanak-kanak diperkenalkan dengan huruf-huruf hijaiyah iaitu huruf-huruf tunggal sepertiا, ب,ٺ 
yang diletakkan tanda baris di atas.  Bacaan adalah berasaskan bunyi iaitu tanda baris di atas, di bawah dan di depan yang mewakili vokal a, i, u iaitu sama dengan pendekatan kaedah Gabungan Bunyi dan Kata yang memperkenalkan vokal a, i, u sebagai asas bacaan.

Apabila kanak-kanak telah betul-betul mahir dan memahami huruf-huruf tersebut, barulah mereka dialihkan ke huruf yang seterusnya.  Pada asasnya, kaedah sesuai yang digunakan bagi memahami pelajaran Iqra adalah Kaedah Gabungan Bunyi dan Kata. 

Di dalam sebuah kajian pendekatan pengajaran awal di tiga buah tabika Kemas di daerah Batang Padang, Perak oleh Azila Alias dan Mazlina Che Mustafa (2010) didapati hampir kanak-kanak boleh memberi tumpuan sehingga 30 minit apabila diajar menggunakan kaedah Gabungan Bunyi dan kata berbanding 15 minit sahaja dengan pengaplikasian Kaedah Abbjad atau Kaedah Seluruh Perkataan. 

Kaedah Gabungan Bunyi dan kata ini memastikan kanak-kanak dapat mendengar, menyebut dan mengecam huruf-huruf berasaskan bunyi.  Ia secara tidak langsung memudahkan kanak-kanak mengenal dan membaca jawi pada masa akan datang. 

Guru-guru akan bertindak sebagai pemudahcara dan akan menegur dengan cara yang lembut dan membetulkannya seandainya kanak-kanak masih keliru dengan bacaan mereka.  Kanak-kanak akan digalakkan membaca dengan kuat di dalam kumpulan dan selari dengan model Ibn Khaldun yang dibincangkan iaitu penggunaan panca indera mata telinga dan mulut untuk menghafal dan mengenal huruf-huruf tersebut.   

Satu lagi kaedah yang digunakan ialah kaedah baca kuat yang dikatakan amat baik untuk meningkatkan ketepatan pembacaan dan kelancaran membaca seseorang kanak-kanak.  (Smith 1979, dalam Allington 2009).  Di dalam kaedah pengajian tradisional juga, teknik ini terpakai di mana para pengajar mengumpulkan anak-anak yang mengaji di dalam satu kelompok dan mengajar mereka membaca dengan suara yang kuat sebelum anak-anak diarahkan untuk mengulangnya semula sehingga bacaan tersebut dapat dihafal.

Bagaimanapun, Ibn Khaldun mengingatkan, kanak-kanak harus memahami perkataan atau huruf tersebut dan bukan sekadar menghafal kerana menghafal tidak memberi kesan kepada fikiran untuk jangka masa panjang. 

Seterusnya, apabila kanak-kanak sudah memahami huruf-huruf tersebut, barulah pelajaran dialihkan kepada yang lebih sukar dan guru akan memantau kanak-kanak tersebut di sepanjang proses pembelajaran. 

Russel (1997) mengatakan di dalam teori Piaget kanak-kanak di dalam lingkungan umur 5 – 7 tahun ini berada di dalam peringkat intuitif.  Mereka akan menggunakan intuisi atau perasaan untuk menyerap persekitaran dan penggunaan bahasa mereka juga sedang berkembang. 

4.6       KES 2            

Bahan              : Bacalah Anakku Sayang
Model              : Ibn Khaldun
                        : Montessori
Teori                : Ibn Khaldun
Teori                : Piaget (paras 2 – peringkat pra operasi)
Kaedah            : Bunyi Gabungan Kata dan Bunyi
Teknik             : Membaca Bergilir-gilir
                        : Nyanyian
                        :bacaan berirama
                       
Di dalam buku Bacalah Anakku Sayang, kaedah latih tubi sesuai dengan teori Ibn Khaldun diaplikasikan.   Kanak-kanak diperkenalkan dengan huruf vokal a,i, u terlebih dahulu dan vokal e dan é diperkenalkan sepatutnya apabila kanak-kanak boleh mengenal dan membaca menggunakan konsonan.  Kanak-kanak akan diminta mengulanginya sehingga betul-betul faham.

Kemudian, kanak-kanak diperkenalkan dengan bunyi huruf konsonan letupan yang boleh membentuk suku kata seperti ‘k’ dan ‘b’ seperti kuku, kaki, atau baba, bubu.  Pada peringkat seterusnya, kanak-kanak akan diarahkan untuk membunyikan huruf vokal a, e, i, o, u berasaskan perkataan dan gambar yang diberikan seperti i untuk itik, u untuk ubi.  Kaedah bacaan dalam kumpulan dipraktiskan untuk memastikan kanak-kanak berasa seronok lebih-lebih lagi pada peringkat pra operasi ini, mereka sudah mula terdedah untuk bersosial.  

Teknik nyanyian boleh digunakan dengan guru menyanyikan suku kata-suku kata dan ayat-ayat pendek berdasarkan bahan bacaan yang disediakan.  Buku ini juga menggunakan pendekatan warna yang berbeza untuk membezakan suku kata dan konsonan dan akan menarik minat kanak-kanak untuk membacanya. 

Teknik bacaan berirama juga boleh digunakan oleh para guru berasaskan lagu-lagu dan puisi kanak-kanak yang banyak terdapat di pasaran ataupun mencipta lagu sendiri berdasarkan perkataan-perkataan bercetak di dalam buku sedia ada. 

Responden pertama Puan Rizana Abdullah, yang berpengalaman sebagai guru pra sekolah selama 13 tahun dan berkelulusan daripada IPGM Raja Melewar  dan kini mengajar di Tabika Kemas Taman Kosas Ampang.  Menurut beliau, kanak-kanak  pada peringkat ini sudah pandai berkawan dan pada masa yang sama masih suka berfantasi.  Ini memungkinkan pendekatan bermain sambil belajar diterapkan.  Suasana pembelajaran berlaku dalam suasana yang santai dengan kehadiran pelbagai alat bantu yang menarik seperti kad-kad bacaan, buku bacaan, bahan-bahan blok, perabut yang berwarna-warni.  
Gambar ehsan Puan Rizana Abdullah, tengah bersama para pelajarnya yang ceria.

Beliau menambah, kanak-kanak di dalam kelasnya amat menyukai buku-buku yang mempunyai berpelekat berwarna-warni dan boleh digunting dan dilekatkan semula di tempat lain.  Pendekatan sebegini melatih koordinasi kinestetik kanak-kanak.  Selain daripada itu, buku bergambar binatang dengan teks yang minima lebih pantas menerima perhatian daripada kanak-kanak berbanding buku bacaan yang berteks hitam putih. 

4.7       KES 3
Bahan Bacaan : Bacaan Bestari 2
Model              : Ibn Khaldun
Teori                : Ibn Khaldun
                        : Piaget (Paras 2 – pra operasi)
Kaedah            : Abjad
                        : Gabungan Bunyi dan Kata
Teknik             : petunjuk bahasa badan

Responden kedua, Irfan Naufal bin Suhaidi adalah murid pra sekolah taski Kg Pasir dan sudahpun mampu menguasai pembacaan semenjak berumur lima tahun.  Responden adalah anak kedua daripada tiga beradik dan kedua ibu bapanya adalah guru sekolah rendah.   Oleh itu kaedah abjad lebih sesuai digunakan di dalam proses pembelajaran dan pengajaran kerana dia sudahpun mengenal kesemua  26 abjad (konsonan dan vokal) di dalam bahasa Melayu. 
Begitupun, merujuk kepada teori Ibn Khaldun kanak-kanak haruslah diajar mengikut kemampuan akal fikiran mereka bagi mengelakkan mereka hilang fokus dan akhirnya hilang minat untuk belajar. 

Guru hanya menggunakan teknik petunjuk bahasa badan dengan menggunakan bahasa tubuh seperti suara atau jari yang tidak menganggu kelancaran proses pembelajaran murid ketika itu.
Hanya pengawasan minima diperlukan ketika murid membacakan teks yang berkaitan dengan gambar dan adalah lebih baik murid dibiarkan menyelesaikan masalahnya sendiri seandainya berdepan dengan perkataan yang tidak difahaminya.  Menurut Leslie dan Allen (1999), pendekatan sebegini adalah lebih baik buat kanak-kanak sebagai pembaca dari segi jangka panjang. 


4.8       KES 4

Bahan Bacaan :           Kenal Baca Tulis (Siri Pemulihan Khas)
Model              :           Ibn Khaldun
Teori                :           Piaget
Kaedah            :           Abjad
Kenal Baca Tulis
Teknik             :           Penulis membahagikan teknik pengajaran di bawah subtopik kiosk
seperti kiosk interpersonal, kioks kinestetik, kioks matematik, kioks muzik dan kioks ruang.
Tidak dinafikan, kanak-kanak mudah tertarik dengan warna-warni.  Untuk kanak-kanak yang masih dalam peringkat awal mengenal huruf pendekatan menggunakan warna digunakan seperti di dalam buku kenal, baca dan tulis.  Penulis buku ini telah memperkenalkan teknik KEBATU, iaitu kenal baca dan tulis.  Proses mengenal huruf-huruf dilakukan dengan mengarahkan kanak-kanak mewarna huruf-huruf tersebut sambil menyebutnya dengan kuat dan masih menggunakan model ibn khaldun iaitu dilakukan secara latih tubi.
Di dalam buku ini, penulis menyarankan beberapa kaedah yang digunakan pakai untuk mewarnai lagi proses pembelajaran dan pengajaran dinamakan kioks seperti:

a)      kioks interpersonal dengan menyuruh kanak-kanak meneka huruf – aktiviti ini hanya boleh dilakukan terhadap kanak-kanak yang sudah melalui proses awal pembelajaran sebelumnya seperti mengenal vokal dan konsonan. 

b)      Kioks kinestetik – kanak-kanak melakukan aktiviti fizikal sambil menyebut huruf (contohnya membaling bola)

c)      Kioks matematik – kanak-kanak diuji dengan memadankan huruf-huruf yang sama

d)     Kioks muzik – kanak-kanak  akan menyanyikan fonik vokal secara beramai-ramai dalam keadaan santai

e)      Kioks ruang – kanak-kanak diberikan alat bantu seperti pensel warna untuk mewarna suku kata atau huruf-huruf yang disebutkan oleh guru

Teknik KEBATU ini jelas mengadaptasi model pendidikan Ibn Khaldun yang menekankan proses bantuan panca indera selain daripada kewujudan bahan maujud.  Bahkan boleh dikatakan teknik ini mengoptimumkan penggunaan panca indera kanak-kanak seperti teknik kioks ruang dan kioks kinestetik. 

4.9       KES 5

Bahan Bacaan : Cepat Baca
Model              : Ibn Khaldun
Teori                : Ibn Khaldun
Kaedah            : Fonemik/ Gabungan Bunyi dan Kata
Teknik             : Petunjuk Bahasa Badan
Sebuah lagi pendekatan yang digunakan di dalam buku bacaan awal kanak-kanak adalah teknik kemahiran membaca.  Berdasarkan buku Cepat Baca, penulis menggariskan empat kemahiran asas membaca iaitu;

a)      Pengisian bunyi – kanak-kanak dimahirkan dengan kemahiran mendengar dan menyebut bunyi-bunyi asas di dalam bahasa.  Kaedah ini sama dengan kaedah Iqra di mana kanak-kanak diperkenalkan dengan fonem dan bukan nama huruf.

b)      Pengecaman bentuk – kanak-kanak mengecam bentuk berasaskan bunyi yang dikaitkan dengan huruf atau gabungan huruf yang melambangkan bunyi tersebut.  Dalam fasa ini, teknik petunjuk bahasa badan sesuai digunakan apabila guru akan menunjukkan ilustrasi yang berkaitan dengan huruf.

c)      Pemaduan bunyi -  kemahiran menyatukan fonem asas untuk membentuk suku kata dan membentuk perkataaan.

d)     Pemisahan bunyi – pada peringkat ini, kanak-kanak diharapkan dapat megecam dan memisahkan bunyi sesuai dalam sesuatu perkataan.  Ini membolehkan kanak-kanak mengenal huruf berasaskan bunyi.  Kebiasaannya, pemisahan bunyi ditunjukkan di dalam teks dengan menggunakan dua warna yang berbeza.   Kebiasaannya hitam dan merah.

Penting sekali, ketika sesi mencerakin frasa, guru akan menunjukkan dengan jari dan membaca sebelum diikuti oleh kanak-kanak.  Di dalam kaedah pengecaman bentuk, guru akan menggerakkan ibu jari dari kiri ke kanan sambil menyebut frasa tersebut dan diikuti oleh murid-murid secara berulang-ulang.  Menurut Searchinger (1995) dan Griffin (2001) ahli bahasa mendedahkan bahawa otak manusia akan lebih memahami sesuatu maksud yang disampaikan melalui petunjuk bahasa tubuh.  Di dalam contoh di atas ialah penggunaan jari oleh guru.

Kaedah cepat baca ini sangat menekankan kaedah fonemik yang menjadi bunyi sebagai asas pengajaran.  Bagaimanapun kaedah ini tetap bersandarkan kepada model Ibn Khaldun yang menegaskan bahawa kanak-kanak harus belajar di dalam keadaan yang selesa dan ceria. 

Berasaskan kajian Azila Alias dan Mazlina Che Mustafa (2010) kanak-kanak normal kebiasaannya mampu memberi fokus dalam satu-satu sesi pembelajaran di antara 15 hingga ke 30 minit.  Sessi pembelajaran dan pengajaran yang tidak ceria akan menjadikan kanak-kanak bosan dan tertekan.  Pada akhirnya, dibimbangi menjadikan kanak-kanak merasa kecewa dan akhirnya hilang minat untuk membaca dan belajar. 

Untuk mengelakkan sesi pembelajaran dan pengajaran membosankan kaedah ini juga dibantu dengan aktiviti bercerita,  bernyanyi dan bermain yang menjadikan aktiviti belajar itu sesuatu yang menyenangkan dan menggembirakan kanak-kanak.

Pendekatan

Pendekatan seterusnya yang biasa digunakan oleh para guru ialah kemahiran membaca, mendengar dan mengulas di bawah komponen bahasa dan komunikasi.  Guru-guru akan membacakan buku cerita atau lampiran cerita kepada kanak-kanak yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.  Begitupun, guru harus bersedia sebelum memulakan sesi bercerita walaupun ia kelihatan mudah. 

Pakar kanak-kanak memecahkan sesi ini kepada tiga langkah iaitu sebelum semasa dan selesai.  Panduan ini biarpun nampak mudah sebenarnya banyak membantu para guru untuk ‘memegang kukuh’ fokus setiap kanak-kanak.  Misalnya sebelum sesi tersebut guru harus memastikan kanak-kanak sudah bersedia dan memastikan mereka berada di dalam keadaan ceria.

Fasa semasa pengajaran adalah lebih penting di mana guru mempraktiskan keseluruhan teknik petunjuk bahasa tubuh.  Jari, menuding perkataan yang sedang dibaca.  Mata, menggunakan teknik eye-contact untuk mencerap reaksi kanak-kanak yang sedang mendengar guru membaca sama ada mereka memberi fokus atau tidak.  Seterusnya guru hendaklah membaca teks dengan perlahan dan sentiasa ‘menunggu’ kanak-kanak sekiranya mereka ketinggalan. 

Sesuatu yang menarik ialah untuk sesi begini, buku-buku cerita mengenai binatang yang dipersonifikasikan menjadi minat utama kanak-kanak seperti Sang Kancil dengan Buaya.  Adalah lebih baik untuk menjadikan suasana pembelajaran lebih ceria, guru mewujudkan suasana lebih suspen dan jangan tergesa-gesa.  Sentiasa berjeda untuk menggalakkan kanak-kanak turut serta di dalam aktiviti tersebut.

Pada akhir sesi, dinasihatkan guru menutup buku dan berdiam seketika untuk menunggu komen kanak-kanak.  Kebiasaannya, jika mereka teruja, mereka akan meminta guru mengulangi cerita itu.  Guru boleh juga memanjangkan aktiviti dengan menyanyikan lagu berkenaan cerita tadi dan meminta kanak-kanak turut menyanyi sama ada secara beramai-ramai atau secara solo.  Sebagai penutup pula, guru akan bersoal jawab dengan menanyakan soalan terbuka mengenai pandangan kanak-kanak terhadap cerita tadi,  yang pada kebiasaannya membariskan nilai moral yang pengajaran yang diperolehi daripada cerita tadi. 


5.0       KESIMPULAN

Apa juga wadah bacaan awal untuk kanak-kanak ia haruslah bersesuaian dengan skala usia kanak-kanak yang digariskan berumur daripada 1 hingga 8 tahun.  Bahan bacaan tersebut seharusnya seiring dengan keperluan pengajaran yang akhirnya memastikan kanak-kanak berkebolehan menguasai 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul sebelum menjejakkan kaki ke sekolah sebenar. 

Di dalam menentukan bahan bacaan tersebut, apa juga kaedah, pendekatan, model dan teori yang digunakan haruslah senada dengan Kurikulum Pra Sekolah Kebangsaan yang menekankan pembelajaran yang menggembirakan. Dengan itu dapatlah dikatakan bahawa bahan bacaan yang menarik dan bermanfaat akan:
a)      Membantu kanak-kanak memahami persekitaran mereka.  Kanak-kanak belajar melalui penglibatan terus dan pengalaman langsung.

b)      Membantu pembentukan personaliti kanak-kanak melalui pendekatan bermain sambil belajar dengan bekerjasama, berinteraksi dengan orang lain, mengikut peraturan, menghormati orang lain, inisiatif dan bertindak mengikut rasional.

c)  PMN GHUY-LPON GHUY-LPAP GHUY-LPJO     Meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak.

d)     Meningkatkan perkembangan bahasa dan perbendaharaan kata kanak-kanak serta mengembangkan kebolehan kreatif kanak-kanak melalui perasaan.
Buku-buku bacaan awal untuk kanak-kanak haruslah menekankan aspek penumpuan, kemahiran membuat pemerhatian, kesedaran dari segi susunan, turutan dan koordinasi juga kesedaran dari segi tanggapan, penyelesaian masalah dan kefahaman tentang alam semula jadi. 

Buku-buku bacaan awal juga seharusnya bersandarkan kepada teori Ibn Khaldun iaitu meletakkan Al Quran sebagai asas pengajaran yang hakiki untuk membentuk akhlak dan menjadi teras penting di dalam pembelajaran dan pengajaran.  Akhlak yang baik adalah tunjang terpenting yang menjadikan guru dan kanak-kanak berada dalam lingkungan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan.
 
Seterusnya,  barulah diikuti oleh model-model lain seperti penggunaan model Montessori yang menekankan konsep belajar sambil bermain.  Pendekatan santai sebegini penting demi memastikan kelangsungan pendidikan awal yang kini berdepan cabaran ledakan informasi dalam dunia maya tak bersempadan yang jika tidak ditapis akan memberi impak yang tidak baik kepada kanak-kanak. 



BIBLIOGRAFI
Bahan Bacaan:
Iqra 1-6, Haji As’ad Humam 1997 Shah Alam Selangor Darul Kitab Sdn Bhd
Bacalah Anakku Sayang, Nik Eliani Nik Nawi dan Othman Ahamad, 1996 Kuala Lumpur One Stop Computer and Language Consultancy.
Bacaan Bestari 2, Mohamad Aman 2002, Kajang Selangor. Aras Mega (M) Sdn Bhd
Kenal Baca Tulis, Noraini Yaacob, Jamaluddin Ahmad, Ahmad Fuat Jamaluddin @ Din, 2007.  Kuala Lumpur.  PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Cepat Baca 2 dan Cepat Baca 3, Che Mazlan Saad dan Zairani A. Hamid 2007, Setapak Kuala Lumpur, Al Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
Rujukan:
Majalah Aulad bil 121 Aras Mega (M) Sdn Bhd
Pn. Rizana Abdullah, guru TABIKA KEMAS Taman Kosas Ampang, melalui laman sosial facebook
Psikologi Sosial dalam Pendidikan, Yahya Don 2006 Kuala Lumpur, PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Penilaian dalam Pendidikan Prasekolah, Surayah Zaidon & Haslinda Md Ali, 2009 Kuala Lumpur PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Permainan, Lagu & Puisi Kanak-Kanak, Nani Menon 2008 Kuala Lumpur PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Model dan Teori Perkembangan Awal Kanak-Kanak, Hanisah Mohamed, Hamidah Ismail, Akmal Alifah Luk, Noor Hayati Osman, Mohd Redzuan Hussin, 10 Mei 2010 diperolehi pada 18 April 2013 daripada http://www.scribd.com/doc/36760501/Teori-Dan-Model-an-Awal-Kanak-kank
Model dan Teori Perkembangan Awal Kanak-kanak, Mohamed Khairul Azmi bin Shoeib, Siti Khatijah Kassim, Siti Hiduayu Mohamad, Mohamad Ridhzuan Ahmad, Muniroh Zakaria, 24 Februari 2010 diperolehi pada 19 April 2013 daripada http://www.scribd.com/doc/51290178/MODEL-DAN-TEORI-PERKEMBANGAN-AWAL-KANAK-KANAK
Teori Pembelajaran Awal Kanak-kanak, Aesyah Jusoh, Ee Kwai Man dan Hanis Suraya Sohimi, 18 November 2011 diperolehi pada 20 April 2013 daripada http://www.slideshare.net/ghost1125/teori-pembelajaran-awal-kanakkank


Falsafah, Teori, Dasar pendidikan awal kanak-kanak.  Nurul Farah Mohd Nazir, Siti Salehah Bisahrin, Noryusmania Junaidi, Junaidah Nordin, Siti Zarina Mohamad Khanipah  17 September 2010 diperolehi pada 21 April 2013 daripada http://www.slideshare.net/katiklaa/kai1023-falsafahteori-dan-dasar-pendidikan-awal-kanakkanak
Ibn Khaldun dan Maria Montessori, Mya Afifi,  5 Ogos 2009 diperolehi pada 22 April 2013 daripada: http://pelangipetang89.blogspot.com/2009/08/tokoh-pengasas-pendidikan-awal-kanak.html
Ciri-ciri Buku Bacaan Bahasa Melayu yang Sesuai Untuk Kanak-kanak di Malaysia, Zainiah Mohamed Isa, 20 Mei 2011 diperolehi pada 23 April 2013 daripada: http://www.scribd.com/doc/55873231/Ciri-ciri-Buku-Bacaan-Bahasa-Melayu-yang-Sesuai-untuk-Kanak-kanak-di-Malaysia
Konsep Pendidikan Awal Kanak-kanak, Siti Umaimee Nazuha Mat, Noor Nabilla Huda Shamsuddin, Nurhayati Ramley, 8 Oktober 2010, diperolehi pada 18 April 2013 daripada http://www.scribd.com/doc/35664631/Konsep-Pendidikan-Awal-Kanak-kanak
Trend Pendidikan Awal Kanak-kanak, 3 Julai 2012 China Radio International diperolehi pada 19 April 2013 daripada: http://malay.cri.cn/701/2012/06/29/122s132121.htm
Model  Pendidikan Montessori, Nor Nurulhayati Aris, Zalila Ismail, Lee Nien Tze, Asitah Puniran, Sugunavathy Manickam, Kalponah dan Noorbaya Othman 1 Julai 2012 diperolehi pada 19 April 2013 daripada: http://www.scribd.com/doc/24902467/Model-Montessori
Falsafah dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak, Noryusmania bt Junaidi, 27 Julai 2012, diperolehi pada 20 April 2013 daripadahttp://www.scribd.com/doc/101203192/Penulisan-Ilmiah-Mengetahui-Falsafah-Dalam-Pendidikan-Awal-Kanak-kanak
Kaedah pengajaran untuk kanak-kanak, Dare Devil, 14 Februari 2012 diperoleh pada 18 April 2013 daripada : http://www.scribd.com/doc/48796690/bacaan-awal-kanak-kanak
Perbandingan Tiga Pendekatan Pengajaran Awal Membaca Bahasa Melayu di kalangan kanak-kanak Tabika, Azila Alias dan Mazlina Che Mustafa, (tarikh muat naik tidak dinyatakan) diperolehi pada 23 April 2013 daripada :  http://www.mymla.org/files/icmm2010_papers/ICMM2010_p63.pdf

Kaedah bimbingan bacaan awal untuk kanak-kanak, Istana Biru, 21 November 2011 diperolehi pada 19 April 2013 daripada : http://belognilam.blogspot.com/2011/11/bimbingan-membaca-untuk-awal-kanak.html

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung